Quantcast
Channel: Ceritera Touring
Viewing all 53 articles
Browse latest View live

Reviu majalah: Bicycle Traveler, edisi Mei 2012

$
0
0

Muat turun majalah Bicycle Traveler edisi Mei 2012 di sini


Pengenalan 

Bicycle Traveler merupakan sebuah majalah antarabangsa mengenai kembara berbasikal (bicycle touring). Ianya dipenuhi dengan cerita menarik dan gambar-gambar yang akan menginspirasikan anda bagi mengimpikan pembacanya tentang destinasi dan peralatan terbaru dunia kayuhan.

Majalah elektronik (selepas ini akan disebut sebagai e-mag) yang dipaparkan di sini merupakan edisi ketiga sepanjang penerbitannya dan juga edisi kedua bagi tahun 2012.

Isu keluarannya akan muncul selang tiga kali setahun, iaitu pada bulan Januari, Mei dan September. Para pembaca boleh melanggan e-mag percuma ini di sini bagi mengelakkan ketinggalan keluaran yang akan datang. E-mel akan dihantar oleh pihak yang berkenaan menandakan keluaran terbaru telah diterbitkan dan mengisyaratkan pembaca untuk mula memuat turun e-mag tersebut

Keluaran sulung e-mag Bicycle Traveler terbitan September 2011 dan edisi kedua terbitan Januari 2012 boleh dimuat turun di sini.


Reviu ringkas e-mag Bicycle Traveler edisi Mei 2012

Saya tidak ingin mengulas secara mendalam mengenai penghasilan artikel, gambar ataupun produk yang dikongsikan dalam e-mag tersebut. Biarlah pembaca sekalian yang memberikan komentar masing-masing setelah membacanya sendiri.

Berikut disenaraikan isi kandungannya:

4 penceritaan,
4 ruangan fotografi,
2 reviu kelengkapan kembara berbasikal,
1 temubual, dan
1 ruangan penulis. 

(1) Penceritaan:


(a) Himalayan Trader, oleh Scott Stoll
Menceritakan tentang pengalaman pengembara berbasikal dari barat yang menukar pen beliau dengan pengembala Tibet. Beliau mendapat pengajaran yang berharga pada pengalaman ini.

(b) Which way to Hyderabad, oleh Frank van Rijn
Catatan pengalaman Frank van Rijn tentang kesukaran beliau menanyakan jalan untuk ke Hyderabad, India.

(c) Hitch-biking through Africa, oleh Jo Charnock
Jo Charnock berkongsi pengalamannya berkembara basikal dengan basikal lipat (folding bike) dari Kaherah (Cairo), Mesir ke Cape Town, Afrika Selatan.

(d) Welcome to Laos, oleh Ian Mitchell
Ian Mitchell mengimbas kembali pengalaman manisnya ketika berkembara basikal ke Laos.

(2) Fotografi

(a) Cerita bergambar: America, oleh Adam dan Christy Coppola
Beberapa gambar menarik mereka ketika berkembara basikal ke lima puluh buah negeri seluruh Amerika Syarikat. Adam Coppola merupakan jurnalis foto (photojournalist), bergabung bakat dan kebolehan bersama isterinya Christy untuk mendokumentasikan perjalanan kembara mereka.

(b) Imej dari perjalanan: India, oleh Paul Jeurissen
Gambar menarik seorang pengembara berbasikal sedang berehat di sebuah pokok rendang.

(c) Imej dari perjalanan: Malawi, oleh Peter Gostelow
Peter Gostelow berkongsikan keadaan bilik yang diduduki bersama basikal serta barangan yang dibawanya.

(d) Gambar akhir (muka belakang): America, oleh Paul Jeurissen.
Gambar tanpa tajuk yang menarik. Tangan yang hitam legam akibat kesan dari minyak sewaktu mahu memotong dan menyambung kembali rantai basikal.

(3) Peralatan

(a) Trip Gear, oleh Grace Johnson
Enam reviu produk peralatan untuk kembara berbasikal. Diantaranya ialah khemah, lapik tidur, beg pemampat kalis air dan lain lain.

(b) Pengujian kasut Crocs, oleh Igor Kovse
Igor Kovse menguji kasut Crocs ketika berkayuh di Namibia, Lesotho dan Paris - Brest - Paris. Mengenengahkan beberapa kelebihan memakai kasut yang ringkas ini.

(4) Temubual
Jim Van Den Berg - Lightweight touring, ditemubual oleh Grace Johnson
Pengembara basikal yang mengamalkan konsep pembawaan barangan secara minima (ultralight touring); berkongsi idea, pandangan dan nasihat beliau.

(5) Kolumnis
The Art of Unplanned Journey, oleh Tom Allen.
Tom Allen, berkongsi pemikiran beliau tentang halatuju kembara berbasikal dalam penghidupannya.


Oleh:
Azizan Zolkipli.
Rabu, 13hb Jun 2012, 3:20 PM,
Jalan Telawi, Bangsar, KL.

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 3

$
0
0
Imbasan episod lalu.

"Beberapa kilometer di hadapan, kelihatan abang Joe berhenti menunggu kami bertiga di sebuah hentian bas. Rupa - rupanya dalam perjalanan, beliau sempat berhenti di gerai menjual buah - buahan di tepi jalan bagi membeli sesikat pisang. Lokasi yang teduh, ditambah dengan sesikat pisang yang dibelanjai oleh abang Joe menyempurnakan lagi hentian kami pada hari yang terik itu hehehe ..."

"Selesai menghabiskan pisang yang dibeli dan membasahkan tekak, kami meneruskan perjalanan dan tidak beberapa jauh di hadapan, saya meminta mereka untuk berhenti bagi mengambil foto grup di satu papantanda sempadan daerah."

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. 

17hb Nov 2011, Khamis: Pekan Rawang ~ Kuala Kubu Bharu.
Sessi bergambar kenangan di papantanda sempadan selesai, kami meneruskan perjalanan meninggalkan daerah Gombak dan memasuki Hulu Selangor melepasi Sungai Choh, Serendah, Antara Gapi, Batang Kali dan Rasa sebelum berhenti di Kuala Kubu Bharu untuk berhenti makan tengahari.


Gambar 1. Mengambil peluang teduhan bayang-bayang lori ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Sungai Choh


Kelancaran perjalanan kami sedikit terganggu ketika baru sahaja melepasi Kelab Golf Serendah. Muzammil yang mengalami kekejangan kaki seawal pagi ketika melalui laluan berbukit di Selayang, mengalami masalah serupa ketika melalui jalan landai di Serendah. Kami mencari lokasi redup untuk berhenti, lalu saya memberikan deep heating rub yang dibawa di dalam kit kecemasan untuk disapukan pada kaki beliau. Apabila merasakan kakinya telah pulih, kami menyambung kembali perjalanan menuju ke Kuala Kubu Bharu.


Gambar 2. Muzammil berhenti rehat bagi melegakan kesakitan akibat kekejangan kakinya


Perjalanan kami berempat dari Rawang menuju ke Kuala Kubu Bharu mempunyai kepelbagaian, dari lurus ke berliku-liku, landai ke mendaki dan menuruni bukit, sedikit redup ke terbuka, panas terik ke redup dan tiada angin bertiup ke berangin kencang.
Menghampiri Kawasan Perindustrian Batang Kali jika tidak silap saya, sekali lagi Muzammil berhenti kerana mengalami masalah kekejangan kaki. Saya mengganggarkan tidak cukup rehat menyumbang kepada kekejangan pada kaki Muzammil itu. Ini adalah kerana Muzammil bertugas pada syif malam, tamat waktu bekerja pada jam 0700 pagi dan pada jam 0900 pula kami telah bergerak meninggalkan Menara MAA. Seperti biasa, selepas menyapu deep heating rub dan berehat, perjalanan disambung setelah kaki Muzammil pulih semula.



Gambar 3. Berhenti rehat berhampiran kawasan perindustrian Batang Kali. Ingat ! Pandu Laju Maut Menunggu


Bagi memberikan sokongan moral, saya memperlahankan rentak kayuhan bagi merapatkan posisi dengan Muzammil. Abang Joe dan Ah Chong telah mara kehadapan, yang mana saya harapkan agar mereka dapat meninjau lokasi untuk makan tengahari di Kuala Kubu Bharu.  Berhampiran papantanda yang menunjukkan jarak ke simpang Kuala Kubu Bharu berbaki lagi 500 meter, Muzammil tiba-tiba memberhentikan basikalnya di kawasan rumput tepi jalan. Beliau menjerit, "Jan, Jan, tolong pegang basikal aku ni. Kaki aku dua-dua krem ..."

Saya terus meletakkan basikal di tepi jalan, lalu berlari pantas ke arah Muzammil untuk memegang basikalnya. Sebaik sahaja dapat memegang basikal, Muzammil melompat dari palang basikal dan terus berbaring di atas rumput sambil kedua-dua kakinya diluruskan. "Ishhh, serius krem dia kali ni", bisik saya dalam hati. Dalam keadaan itu, sempat juga saya menghantar sms kepada Ah Chong memberitahu keadaan terkini kami. Tidak berapa lama kemudian, Ah Chong membalas sms saya memberitahu tiada satu pun kedai makan di R & R Kuala Kubu Bharu yang terletak berhampiran persimpangan lampu isyarat dibuka. "Aisehhh, takkan nak kena berkayuh masuk ke pekan Kuala Kubu Bharu dan berpatah balik sejauh beberapa kilometer semata-mata untuk makan tengahari", getus hati saya.

Setelah berehat lebih kurang 30 minit, keadaan Muzammil pulih semula dan kami berdua menyambung perjalanan menuju ke R & R Kuala Kubu Bharu. Ketika menghampiri R & R Kuala Kubu Bharu, kami dapati yang tiada satu pun kedai makan yang dibuka. Mungkin kedai-kedai makan di situ hanya dibuka pada hujung minggu kerana pada hari biasa, tidak ramai pengunjung yang akan datang.

Muzammil dan saya kemudiannya menuju ke sebuah stesyen minyak berhampiran, mendapatkan Ah Chong dan abang Joe yang telah berada terlebih dahulu di sana.Saya sempat menggunakan aplikasi Maxisfb2mobile pada telefon bimbit bagi memaklumkan kedudukan terkini kami pada kenalan Facebook dengan info berikut: 

Pit stop kedua di Shell simpang masuk ke Kuala Kubu Bharu. Info: 72.34 km DST, 4:02:06 TM, 17.9 km/h AVG [17.11.2011, 1415 hrs] 

Ianya bererti, ini adalah hentian kedua kami selepas berhenti di stesyen minyak Petronas Rawang dan kami telah berkayuh sejauh 72.34 kilometer, dengan masa 4 jam 2 minit 6 saat (tidak termasuk waktu berhenti) pada purata kelajuan 17.9 km/j.
 
Setelah berbincang, kami bersepakat untuk makan di stesyen minyak itu kerana perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Tanjung Malim hanya tinggal lagi lebih kurang 20 kilometer. Masing-masing membeli roti dan minuman isotonik bagi mengalas perut dan menambah tenaga, sebelum akan menyambung perjalanan ke Tanjung Malim kemudiannya.


Gambar 4. Berhenti rehat dan makan di stesyen minyak Shell Kuala Kubu Bharu

Gambar 5. Masing-masing membeli roti dan minuman isotonik untuk mengalas perut dan menambah tenaga

Gambar 6. Lawa pula kelihatan apabila basikal abang Joe diletakkan di situ


Semasa kami sedang berehat, tiba-tiba hujan mencurah dari langit. Mujurlah tempat kami berehat itu berbumbung, dapatlah berlindung dari kebasahan. Setelah 15 minit, hujan semakin lebat dan seakan tiada tanda untuk berhenti dalam masa terdekat. Peluang ini diambil oleh kami untuk melelapkan mata buat seketika dengan tidur di kaki lima stesyen minyak tersebut.


Gambar 7. Sempat melelapkan mata sementara menunggu hujan berhenti


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G . . .


"Let the present be your present" -  Meher Amalsad

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 4

$
0
0
Imbasan episod lalu:

"Semasa kami sedang berehat, tiba-tiba hujan mencurah dari langit. Mujurlah tempat kami berehat itu berbumbung, dapatlah berlindung dari kebasahan. Setelah 15 minit, hujan semakin lebat dan seakan tiada tanda untuk berhenti dalam masa terdekat. Peluang ini diambil oleh kami untuk melelapkan mata buat seketika dengan tidur di kaki lima stesyen minyak tersebut ..."

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.


17hb Nov 2011, Khamis: Kuala Kubu Bharu ke Kerling

Tidur, bangun, tidur dan bangun. Hampir sejam, hujan tidak juga mahu berhenti kecuali kadar kelebatannya berkurangan. Memandangkan masa semakin suntuk, mahu tidak mahu terpaksa jugalah kami meredah hujan tersebut. Lampu belakang (blinker) dinyalakan bertujuan untuk dapat dilihat dalam keadaan hujan oleh pengguna jalanraya yang lain.

Lebih kurang enam perpuluhan lima kilometer berkayuh melepasi gabungan  jalan landai - berbukit dan lurus - berliku, kami berempat tiba dan berhenti di pekan kecil Kerling. Rasanya tidak layak dipanggil pekan, kerana ianya cuma deretan beberapa buah kedai (mungkin tidak sampai sepuluh buah kedai) yang terletak di sebelah kiri jalan menghala arah utara.


Gambar 1. Ah Chong dihadapan kedai yang disinggahinya di Kerling. Klasik kan ?


Kerling ke Tanjung Malim

Di sini Ah Chong berhenti bagi membeli bateri lampu basikalnya, sebagai persiapan untuk menghadapi suasana malam. Selesai membeli barangan yang dikehendaki, perjalanan kami diteruskan menghala ke Tanjung Malim melepasi kawasan Kampung Gumut. Satu situasi yang tidak dapat dilupakan, kami bersua dengan seorang lelaki separuh usia yang berbasikal dengan tidak berbaju dan membawa satu bakul besar di bahagian belakang basikalnya. Kami cuba menghampirinya dengan tujuan untuk berinteraksi, apabila semakin dekat dengannya alangkah terperanjatnya kami apabila mendapati terdapat sebilah parang panjang di dalam bakul tersebut. Apabila mahu memotong beliau, masing-masing mengambil jarak jauh dari menghampirinya. Bukanlah mahu berperasangka jahat terhadapnya, tetapi bak kata omputih, "prevention is better than cure"hehehe ...


Gambar 2. Muzammil, sedikit cuak apabila mendapati terdapat sebilah parang panjang di dalam bakul tersebut


Dari kawasan Kalumpang menuju ke Tanjung Malim, hujan bertambah lebat dan kami berempat memutuskan untuk mencari tempat teduhan. Ini adalah kerana hujan yang terlalu lebat boleh membataskan penglihatan pengguna jalanraya dan keberangkalian untuk kami dilanggar dari belakang amatlah tinggi walaupun setelah menyalakan lampu belakang. Nasib kami baik, kerana tidak jauh di hadapan terdapat sebuah hentian bas. Beberapa meter sebelum hentian bas itu juga terdapat papantanda yang memberitahu kami jarak ke Tanjung Malim berbaki lagi tujuh kilometer.


Gambar 3. Berhenti di hentian bas, dengan jarak berbaki 7 km ke Tanjung Malim


Macam-macam perkara yang kami lakukan untuk menghabiskan masa sewaktu menunggu hujan reda di hentian bas ini. Ada yang membelek-belek basikal sendiri, menghisap rokok, berbual. Mungkin kalau tempat duduknya lebar dan kering, pasti akan ada yang tidur di situ. Diri saya sendiri, menanggalkan baju yang basah lenjun kerana ianya membuatkan saya menggigil kesejukan. 'Wind chill factor', itulah istilah yang pernah saya baca. Tetapi itu faktor kesejukan yang disebabkan oleh angin, tetapi dalam kes saya ini ianya disebabkan oleh pakaian yang basah. 

Sempat juga saya mengeluarkan telefon bimbit, lalu menghantar sms ke Facebook dengan menggunakan aplikasi fb2mobile, bertulis (dengan ejaan sebenar): 

B’teduh dr hujan lbt di bus stop lg 7 km ke Tg. Malim. Hujan tak renti2 sejak tinggalkan Shell smpg Kuala Kubu Bharu. Info: 87.81 km DST, 4:52:34 TM [17.11.2011, 1700 hrs] 

Ohh, telah lebih lapan puluh tujuh kilometer dan hampir lima jam (terkecuali waktu berhenti) kami berkayuh sejak meninggalkan Menara MAA pagi tadi.

Lebih kurang hampir setengah jam berteduh, hujan mulai reda dan keadaan selamat untuk kami menyambung kayuhan. Perut saya telah mula berkeroncong, mungkin kerana belum makan tengahari dengan menu yang berat dan keadaan hujan menyebabkan badan terpaksa menggunakan tenaga bagi memanaskan badan. Kami meneruskan perjalanan berbaki tujuh kilometer menuju Tanjung Malim dengan satu objektif utama; berhenti makan lewat tengahari merangkap awal malam !


Selamat tinggal Selangor Darul Ehsan ! Selamat datang Perak Darul RIdzuan !
 
Kami meninggalkan negeri Selangor dan memasuki Perak ketika melintasi sebuah jambatan yang menyeberangi Sungai Bernam, dimana ianya dijadikan sempadan bagi kedua-dua negeri. Jam menghampiri pukul enam petang, kami tiba di sebuah restoran tepi jalan di pekan Tanjung Malim yang bernama Restoran Berkat Maju Seafood. Mungkin kerana terlalu fokus untuk berhenti makan mengakibatkan saya pada mulanya tidak  memperdulikan langsung nama restoran tersebut. Masing-masing memesan makanan dan minuman, pada kuantiti yang ekstra kerana kelaparan.


Gambar 4. Berhenti makan di Tanjung Malim, hujan masih lagi belum berhenti


Untuk memudahkan dan mempercepatkan proses mendapatkan makanan, kami bersepakat memesan makanan yang sama, iaitu nasi goreng. Cuma kuantiti dan 'side order' nya sahaja yang berbeza. Sewaktu menunggu minuman dan masakan sampai, kelihatan pekerja-pekerja restoran sedangasyik menonton perlawanan secara langsung piala AFF Suzuki 2011 antara pasukan Thailand menentang Myanmar. Mungkin pekerja-pekerja restoran itu berasal dari selatan Thai pada telahan saya. Saya sedang menginfokan situasi terkini pada laman Facebook ketika minuman dan makanan mula dihidangkan.Smssaya itu, seperti berikut: 

Renti mkn lewat tghari merangkap awal mlm di Restoran Berkat Maju Seafood Tg. Malim. Info: 94.55 km DST, 5:16:38 TM [17.11.2011, 1800 hrs] 


Gambar 5. Hidangan telah pun sampai ketika saya sedang bersms


Gambar 6. Nasi goreng ekstra (nasi lebih), bersama telur goreng


B  E  R  S  A  M  B  U  N  G


"Wise sayings often fall on barren ground, but a kind word is never thrown away." - Arthur Helps

S24O Bukit Ramli - 2hb Jun 2012 (Bahagian pertama)

$
0
0
Salam sejahtera semua, maaf sudah lama tidak bersiaran akibat gagal mencari mood menulis. Pemberitahuan, siri Kayuhan NJ [episod lalu, klik sini] akan diberhentikan buat sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Sedangkan siri kepolisan Gerak Khas arahan Dato' Yusof Haslam yang dah bertahun dan gah itupun direhatkan, inikan pula siri Kayuhan NJ tu. InsyaAllah, penceritaan akan dihabiskan juga mudah-mudahan nanti.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

S240
 
S240 merupakan singkatan kepada 'Sub 24 Hours Overnight'.  Ia merupakan salah satu genre kembara berbasikal (cycle touring) yang dilakukan dalam jarak dekat dan memakan masa cuma lebih kurang 24 jam sahaja pergi dan balik. Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut kerana ia pernah dimasukkan pada artikel lalu.

Pendahuluan
 
Sejujurnya, saya adalah seorang yang suka bereksperimen dalam aktiviti berbasikal. Ianya boleh jadi dari segi pemilihan acara kayuhan (on road / offroad / touring), rakan kayuhan (lelaki / perempuan / newbies / berpengalaman) dan tidak ketinggalan juga bereksperimen dalam genre touring itu sendiri. Ini adalah kali pertama saya berS240 dan bergandingan dengan muka baru dalam aktiviti kembara berbasikal ini iaitu dengan Azman Zainal.

Azman, atau saya panggil nama timbangannya sebagai Mawi, baru sahaja menyiapkan basikal jenama Surly model Long Haul Truckernya (selepas ini akan disebut sebagai Surly LHT). Ini adalah kali pertama basikalnya akan dipandu uji dikayuh - uji pada perjalanan yang lebih panjang dari kebiasaan kayuhannya. Walaupun baru, tetapi basikal beliau tetap dilengkapi dengan sebuah beg pannier. Penceritaan selanjutnya akan dilakukan mengikut susunan kronologi.

Sabtu, 2hb Jun 2012

Seksyen 11 Shah Alam ke Lebuhraya Guthrie:

- jam 1600 petang: Tepat pada waktunya Mawi muncul di lokasi yang dijanjikan, iaitu di persimpangan Jalan Wau B 11/B dan Jalan Tarian 11/2 Seksyen 11 berhampiran sebuah restoran mamak. Kesempatan ini diambil untuk saya membelek-belek basikal Surly LHT Mawi kerana sebelum ini hanya pernah melihatnya dalam gambar sahaja.

- jam 1610 petang: Bergerak memulakan perjalanan mengikut laluan Seksyen 11, Seksyen 13 dan terus memasuki Lebuhraya Guthrie (E35) dengan mengikuti laluan motor.

- jam 1650 petang: Selepas berkayuh hampir 11 kilometer dari Seksyen 11 Shah Alam kemudiannya kami berdua tiba di susur keluar ke Puncak Perdana di Lebuhraya Guthrie, melepasi plaza tol Bukit Jelutong. Berehat sebentar untuk minum membasahkan tekak. Berjumpa dengan dua orang berbangsa Cina yang juga berbasikal, sempat salam berkenalan dan mereka katanya ingin berkayuh hingga ke kampus UITM Puncak Perdana.


Gambar 1. Lokasi pertemuan di Seksyen 11, Shah Alam
 
Gambar 2. Di susur keluar laluan motor ke Puncak Perdana melepasi plaza tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie.
 
Gambar 3. Minum untuk membasahkan tekak sebelum menyambung kembali perjalanan


Lebuhraya Guthrie ke Alam Budiman

- jam 1700 petang: Perjalanan disambung kembali memasuki Jalan Batu Arang. Laluan berselang seli antara mendaki dan menuruni bukit, melepasi kampus UITM Puncak Perdana di sebelah kiri kami. 

- jam 1740 petang: Selepas perjalanan lebih kurang 6 kilometer, kami tiba di Alam Budiman dan terus ke surau berhampiran untuk solat Asar.

- jam 1800 petang: Beredar dari surau, ke kedai runcit berhampiran untuk menikmati minuman dan roti bagi menambah tenaga. Sebelum ke kedai runcit, sempat singgah di kedai basikal Nerd Cycle bagi membuat tinjauan.

Alam Budiman ke Kampung Bukit Cherakah

- jam 1820 petang: Mula bergerak meninggalkan perkarangan kedai runcit di Alam Budiman menuju ke simpang Jalan Paip - Dragonback. Untuk info, laluan tersebut dipanggil sebagai Dragonback kerana permukaan jalannya yang berbukit, diibaratkan seperti bonggol pada belakang seekor naga. Saya gagal menemui nama jalan tersebut di dalam Google Maps kerana ianya tidak dinyatakan. Laluan ini menjadi kegemaran pengayuh basikal baik roadbike mahupun mountain bike untuk mencari stamina sebelum menyertai mana-mana acara berbasikal atau sekadar mengeluarkan peluh di hujung minggu.

- jam 1830 petang: Tiba di simpang Jalan Paip - Dragonback selepas 2.5 kilometer kayuhan, berhenti untuk bergambar kenangan.


Gambar 4. Bersediakah kami untuk menakluki jalan Dragonback yang berbukit itu ?


- jam 1835: Mula melalui jalan Dragonback, mendaki bukit yang pertama. Aduhaiii, curamnya huhuhu ...


Gambar 5. Mendaki bukit pertama

Gambar 6. Bukit seterusnya menanti kami nun jauh di hadapan


- jam 1845 petang: Selepas lebih kurang 2 km melepasi persimpangan Jalan Paip - Dragonback, saya kemudian berhasrat menukar laluan ke jalan pedalaman memasuki kawasan Kampung Bukit Cherakah. Ini adalah kerana saya pernah melalui laluan tersebut ketika menjadi sukarelawan untuk menandakan jalan kayuhan Cycle4Care yang telah diadakan pada 6hb Mei 2012 lalu.


Gambar 7. Mengikuti jalan pedalaman Kampung Bukit Cherakah. Nampak gayanya tidak boleh lari dari laluan berbukit

Gambar 8. Berhenti seketika di tempat tinggi dan terbuka bagi menikmati pemandangan matahari terbenam

Gambar 9. Masih lagi di kawasan Kampung Bukit Cherakah

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

Nota kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam lamanini ( :
Episod seterusnya boleh dibaca di sini.

S24O Bukit Ramli - 2hb Jun 2012 (Bahagian kedua)

$
0
0
Kesinambungan dari episod lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.


Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. 

Sabtu, 2hb Jun 2012

Kampung Bukit Cherakah ke simpang Bukit Ramli

- jam 1900 malam: Melepasi Sekolah Kebangsaan Bukit Cherakah, kami meneruskan perjalanan ke hadapan, mengikuti jalan bertar yang pernah saya lalui sebelum ini dengan bermotorsikal. Sampai di sebuah persimpangan, ke kanan menghala ke laluan offroadCycle4Care manakala jalan terus ke laluan yang saya yang tidak pernah ikuti sebelum ini. Dengan keyakinan melampau (over confident), saya meyakinkan Mawi yang jalan ini akan bertemu dengan simpang tiga menuju ke puncak Bukit Ramli.

- Kami melalui beberapa rumah, dan kemudian jalan mulai tidak bertar. Penduduk tempatan yang kebetulan berada di tepi jalan kami tanyai, katanya jalan yang kami lalui ini tidak akan bertemu dengan jalan ke Bukit Ramli. "Ahhh sudah," bisik hati saya. OK tidak mengapa, saya mengambil keputusan untuk menggunakan konsep 'redah saja'.

- Perjalanan seterusnya membawa kami ke sebuah laluan yang terdapat beberapa ekor lembu tertambat dan menghalang perjalanan. Di tepinya terdapat himpunan ranting dan pokok kering sedang terbakar. Masing-masing takut untuk mara, kerana bimbangkan lembu dewasa yang seolah-olah ingin menanduk kami. Hendak ketepi, api sedang marak membakar dan terpaksa pula melalui tebing bukit. Mujurlah gembala lembu ada di situ, beliau menenangkan kami dengan mengatakan yang lembu tersebut tidak garang.

- Dari kawasan itu, kami menjumpai sebuah rumah, sempat juga bertanyakan pada seorang lelaki separa umur yang sedang berada di luar rumah. Menurut beliau, tiada jalan yang menghubungkan terus ke Bukit Ramli, sebaliknya kami harus keluar kembali ke jalan besar. Tambahnya lagi, beberapa rumah di jalan yang akan kami lalui nanti terdapat banyak anjing. Tidak tahulah samada terdapat kebenaran ataupun beliau sengaja menakutkan kami.

- jam 1915 malam: Beberapa rumah dan kebun kami lalui, di akhir perjalanan terdapat laluan berpasir sebelum ianya menemukan kami ke jalan besar. Meter saya menunjukkan kami telah melalui jalan dalam tersebut sejauh 2.5 kilometer. Sebelum meneruskan perjalanan di jalan besar, kami menghidupan lampu keselamatan (blinker) masing-masing. Beberapa bukit harus kami tempuhi sejauh lebih kurang sekilometer, sebelum menemukan simpang masuk ke Bukit Ramli.Sempat juga kami berhenti seketika di tepi jalan bagi menghormati seruan azan Maghrib yang sedang berkumandang.

- jam 1935: Kami tiba di simpang masuk ke Bukit Ramli, berhenti seketika untuk bergambar kenangan. Yesss, akhirnya, jalan yang benar menuju Bukit Ramli !   


Gambar 1. Simpang masuk ke Bukit Ramli, berlatarbelakangkan balam-balam senja
 
Gambar 2. Jalan Awin, menuju ke Bukit Ramli


Simpang Bukit Ramli ke Bukit Ramli

- jam 1945: Perjalanan disambung, menuju ke puncak yang telah kelihatan lampunya dari bahagian bawah. Melepasi beberapa meter jalan berpasir sebelum jalan bertar, lebih kurang 150 meter dihadapan jalannya kemudian mula mendaki dan pendakiannya makin lama makin curam. Di satu selekoh kemudian ternampak lampu kenderaan datang dari arah hadapan, saya amati dan cam yang pemandu tersebut ialah Wak Ramli ! Beliau kemudian menyapa kami, saya memberitahunya yang kami akan bermalam di puncak.

- Sampai di simpang tiga, saya mengecam sebuah batuan tanda beserta anak panah ke Bukit Ramli, kawasan yang saya pernah lalui ketika membuat  penandaaan Kayuhan Cycle4Care lalu. Kami memasuki hala kiri dan terus berkayuh hinggalah menemui satu simpang tiga, samada terus ataupun ke kanan. Di sini, saya menjadi keliru lantas mengambil ke arah kanan. Tidak sampai 200 meter berkayuh, saya mulai mendapati yang kami telah tersalah arah. Berpatah balik, naik ke atas dan kami sampai lagi di sebuah simpang tiga.

- Di simpang tiga itu, saya mula pasti laluan sebenar dan mengambil arah ke kanan. Jalan terus juga boleh membawa kami ke puncak Bukit Ramli, tetapi laluan yang curam membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengambil jalan selamat dan mudah. 

Puncak Bukit Ramli

- jam 2045 malam: Meninggalkan simpang tiga jalan besar - Jalan Awin sejauh 1.3 kilometer, akhirnya kami berdua selamat sampai di puncak Bukit Ramli ! Bagi individu lain, mungkin hanya biasa kerana telah banyak kali ke situ, tetapi bagi kami berdua ia merupakan satu lagi pencapaian peribadi. Tambahan pula berbasikal dengan membawa beg pannier melalui laluan berbukit dan tiba pada waktu malam, rasanya belum pernah lagi dilakukan oleh orang lain.

- Tiada orang lain di atas itu selain kami berdua; Fairus yang bertugas di kedai makan puncak bukit tersebut dan seorang wanita yang merupakan isteri Wak Ramli atau ibu kepada Fairus. Saya terus singgah di kedai makan lalu memesan air nenas cincau pada Firdaus. Untuk info, air nenas merupakan menu istimewa kedai makan tersebut. Mawi turut memesan air yang sama, setelah saya mencadangkannya kepada beliau.

- Kami berdua ke pelantar di tebing bukit untuk berehat dan menikmati pemandangan malam. Fairus menghantarkan minuman kami ke meja yang terdapat di pelantar pemandangan tersebut.


Gambar 3. Pelantar pemandangan bagi pengunjung menikmati suasana malam
  
Gambar 4. Menikmati pemandangan Meru dan Klang,  sambil menghirup udara segar yang bertiup di muka
 
Gambar 5. Pemandangan kedai makan dari arah pelantar pemandangan

 
- sambil minum, kami berdua berbicara tentang pengalaman kayuhan masing-masing disamping melihat tempat sesuai untuk kami memasang khemah. Tiba-tiba, saya mendapat SMS dari abang Naz memberitahu akan naik ke Bukit Ramli bersama keluarganya. Tulisnya lagi, tempat makan kegemarannya tidak dibuka pada malam itu. Ohhh OK, ada juga peneman kami malam ini ...  

- sementara menunggu kehadiran abang Naz sekeluarga, saya meninjau keadaan persekitaran, menjengah sebuah papan yang dilekatkan pelbagai gambar dan tidak lupa juga masih terfikir lokasi sesuai untuk mendirikan khemah.


Gambar 6. Papan bergambar merakamkan segala program yang pernah dibuat di situ.


Makan malam di puncak Bukit Ramli

- jam 2055 malam: Abang Naz, kak Zai dan famili sampai di puncak Bukit Ramli dengan sebuah kereta. Mereka terus ke kedai makan, memesan makanan - minuman dan turut mengajak Mawi serta saya menyertai mereka makan malam.


Gambar 7. Sebuah basikal tua diletakkan di bahagian bumbung kedai makan sebagai hiasan. Menarik bukan ?

Gambar 8. Keluarga abang Naz & kak Zai
 
Gambar 9. Mawi dan  saya, turut menyertai keluarga abang Naz makan malam

Gambar 10. Menu hidangan makan malam kami


- Ketika makan bersama, kami turut berbual-bual mengenai pengalaman berkayuh dari petang ke malam untuk ke puncak Bukit Ramli ini.

- jam 2310 malam, keluarga abang Naz dan kak Zai memohon untuk pulang. Malam itu, abang Naz membelanja makan malam saya dan Mawi. Terima kasih banyak-banyak diucapkan, moga Allah SWT melimpahkan rezeki kepada mereka sekeluarga. Aaamiin ... Sebelum pulang, kami sempat bergambar kenangan beramai-ramai.


Gambar 11. Bergambar kenangan bersama keluarga abang Naz dan isteri Wak Ramli (paling kanan). Petikan kamera, ihsan Fairus
  
Gambar 12. Satu lagi gambar kenangan


- jam 2315 malam: Setelah masing-masing bersalaman, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal, keluarga abang Naz dan kak Zai bergerak meninggalkan kami. Tinggallah kami berempat iaitu Mawi dan saya serta Fairus dan ibunya.

- Fairus menawarkan kami untuk bermalam di surau, memandangkan pada malam itu angin kencang dan kelihatan kilat sekali sekala menyabung di kejauhan. Kami yang pada mulanya keberatan, akhirnya bersetuju juga kerana memikirkan faktor keselamatan kerana puncak Bukit Ramli adalah lapang dan terdedah kepada bahaya kilat jika kami berkhemah dalam cuaca yang kurang baik.

- jam 1145 malam: Kami berdua masih belum tidur, masing-masing menonton televisyen sambil makan makanan ringan yang dijual di kedai makan tersebut. Tidak diingati cerita apa yang ditayangkan, tetapi  cukup menarik lantas membuatkan saya tidak merasa mengantuk di ketika itu.


Gambar 13. Menonton televisyen sambil mengunyah keropok ikan dari Terengganu. Terbaikkk ...
  
B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 *Nota ingatan kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam lamanini ( :
Episod seterusnya boleh dibaca di sini.
 

S24O Bukit Ramli - 3hb Jun 2012 (Bahagian pertama)

$
0
0
Lanjutan dari kisah lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

Ahad, 3hb Jun 2012 

Puncak Bukit Ramli 

- jam 0000 tengah malam ke 0130 pagi: Tidak diingati sehingga jam berapa saya dan Mawi menonton televisyen, lalu kemudian memindahkan basikal dan segala barangan ke surau bersebelahan kedai makan apabila diberi kebenaran oleh Fairus untuk bermalam di situ. Surau itu dua tingkat, dengan bahagian bawah dijadikan rumah penginapan bagi keluarga Wak Ramli. Apapun, malam itu apabila jam menghampiri satu setengah pagi barulah saya dapat melelapkan mata. 

- jam 0630 ke 0700 pagi: Saya bangun dan bermalas-malasan sebentar di tempat tidur, kemudian menjengah keluar melihat basikal yang masih berada di tempatnya sejak malam tadi ("fuhhh, lega basikal tidak hilang..."), lalu bergegas ke bilik mandi untuk membasuh muka dan berwudhuk sebelum menunaikan solat Subuh. Selepas bersolat, mata tidak boleh tidur lagi dan mulalah terfikir untuk bersiar-siar menikmati suasana pagi. 

- jam 0700 - 0800 pagi: Keluar menikmati keindahan pagi di puncak Bukit Ramli. Melihat-lihat ke sekeliling ladang nenas di persekitaran bukit. 


Gambar 1. Seawal pagi Fairus membersihkan perkarangan kedai makannya
Gambar 2. Sebatang pokok tongkat ali ditanam di Bukit Ramli
 
Gambar 3. Nama jenis pokok nenas yang ditanam di sekitar Bukit Ramli
  
Gambar 4. Jalan naik ke puncak Bukit Ramli, yang kami lalui berdua pada malam sebelumnya
 
Gambar 5. Tanaman pokok nenas dan keratan daun, tidak pasti, mungkin untuk disemai barangkali.
  
Gambar 6. Perca kain diletakkan pada setiap buah nenas. Tujuan ? Jangan tanya saya ( :
  
Gambar 7. Banner acara kayuhan Cycle4Care yang telah dilaksanakan pada 6hb Mei 2012 lalu
 
Gambar 8. Asap yang keluar dari serombong Stesyen Janakuasa Elektrik Kapar, kelihatan jelas di waktu awal pagi
 
Gambar 9. Bangunan baru dibina di Bukit Ramli, kelihatannya seperti hendak dibuat chalet
 
Gambar 10. 'Blue hour' di waktu pagi atas Bukit Ramli
 
Gambar 11. Tanaman nenas berlatar belakangkan langit membiru
 
Gambar 12. Cantik kan kebiruan langit hari itu ?


- jam 0810 pagi: Puas kesana kemari, saya pulang semula ke surau. Cadangnya, hendak menyambung tidur kembali. Hari Ahad yang indah dan tenang lalalalala ...


Gambar 13. Keadaan bahagian dalam surau tempat kami bermalam
  
Gambar 14. Selepas melihat Mawi masih tidur, selepas gambar ini diambil saya pun menyambung kembali tidur ( :

B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 *Nota ingatan kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam lamanini ( :
Episod seterusnya boleh dibaca di sini.

S24O Bukit Ramli - 3 Jun 2012 (Bahagian kedua)

$
0
0
Kesinambungan dari bahagian lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih. 


Ahad, 3hb Jun 2012 

Puncak Bukit Ramli 

- jam 0820 pagi: Hendak menyambung tidur, malangnya mata tidak mahu terpejam. Mungkin kerana perut sudah mula berkeroncong minta diisikan, mana mungkin mendapatkan tidur yang lena ! Kami berdua mengeluarkan bahan-bahan makanandan minuman serta peralatan memasak untuk menyediakan sarapan pagi. Proses memasak dilakukan di lantai bersimen luar perkarangan surau.


Gambar 1. Antara barangan makanan - minuman dan peralatan yang dibawa

Gambar 2. Periuk belanga, dapur memasak dan bahan api dalam tin

Gambar 3. Masterchef Mawi sedang bermain masak-masak


- jam 0950 pagi: Sarapan pagi selesai disediakan, dua minuman iaitu kopi o kaw dan minuman coklat beserta nasi goreng ikan bilis perasa ikan bilis siap sedia untuk dihidang dan dinikmati.


Gambar 4. Siap siaga untuk bersarapan pagi. Bismillah ...


- jam 1030 pagi: Sedang kami melepak setelah menghabiskan sarapan pagi, kelihatan beberapa orang penunggang mountain bike menaiki puncak Bukit Ramli dari arah laluan curam yang kami elak dari laluinya malam tadi. Seorang daripadanya menghampiri kami berdua lalu menegur saya, "Wakjan ekk ?""Ya", jawab saya. "Saya kawan Facebook Wakjan, En Mka", katanya. "Berjumpa kita di sini ekk", tambahnya lagi. Ketika berbual-bual, beliau turut menampakkan minat dengan peralatan memasak dan stail kembara berbasikal kami.

- Kenalan saya itu, encik Muhd Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai En Mka dalam laman sosial Facebook kemudian meminta kami mengambil gambar kenangan mereka sekumpulan bersama kenderaan Perodua Kancil berwarna biru yang diubahsuai untuk membawa penunggang acara basikal menurun bukit (downhill) yang suatu masa dahulu cukup popular di Bukit Ramli.


Gambar 5. En Mka dan rakan-rakan kayuhan bergambar kenangan


- melihatkan mereka bergambar dengan kenderaan biru tersebut, saya dan Mawi turut ingin merakamkan kenangan di Bukit Ramli bersama 'Kancil" yang diubahsuai itu. Salah seorang dari mereka menawarkan diri untuk mengambil gambar kami berdua.

 
Gambar 6. Kami juga mahu bergambar kenangan bersama 'kenderaan biru'
  
Gambar 7: Mawi bersama En Mka dan rakan-rakan kayuhan
 
Gambar 8. Pasangan sehati berdansa berbasikal.
  
Gambar 9. Sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa dua buah basikal MTB. Tidak diketahui arah tuju mereka.
 
Gambar 10. Bergambar solo untuk merakamkan kenangan tiba di puncak Bukit Ramli
 
Gambar 11. Berlegar-legar sementara menunggu untuk menuruni bukit ke laluan lain


- jam 1200 tengahari: Peralatan memasak kesemuanya telah dicuci, dijemur agar kering dan disimpan. Kini, masa untuk menyegar dan mencuci badan di bilik mandi yang terdapat bersebelahan surau. Kami berdua bercadang untuk turun dari puncak Bukit Ramli jam 1400 petang, selepas menunaikan fardu Zohor terlebih dahulu.


Gambar 12.  Bersedia untuk meninggalkan Bukit Ramli



- jam 1345 petang: Kelihatan tiga orang pemuda membawa basikal mereka, salah seorang darinya saya cam mukanya. Ya, sudah pasti ! Dia adalah salah seorang rakan kembara gunung, tidak pernah saya mengembara bersamanya cuma sebagai penggiat aktiviti rekreasi luar kami memang saling mengenali walaupun tidak mengetahui nama sebenar masing-masing.

- Menurutnya, mereka ingin membersihkan laluan downhill yang terdapat di situ memandangkan sebahagian daripadanya telah pun rosak akibat tanah runtuh dan bersemak. Saya kemudiannya meminta jasa baik beliau untuk merakamkan gambar kenangan kami berdua bersama basikal masing-masing dan 'kenderaan biru' Bukit Ramli.



Gambar 13. Bergambar kenangan di Bukit Ramli bersama basikal masing-masing dan 'kenderaan biru


- jam 1400: Tepat jam 2 petang, kami berdua menuruni puncak Bukit Ramli. Sayonara Bukit Ramli, Wak Ramli, Fairus dan air nenas cincau !


Gambar 14. Beberapa minit sebelum meninggalkan puncak Bukit Ramli


- jam 1415 petang: Kami berdua tiba di persimpangan masuk ke Jalan Awin.Berehat sebentar dan bergambar kenangan sebelum melalui jalan besar untuk ke Meru.

Gambar 15. Menolak basikal di permulaan laluan masuk ke Jalan Awin yang sedikit berpasir
Gambar 16. Di persimpangan masuk ke Jalan Awin, berlatarbelakangkan laluan pendakian naik menujuke Bukit Ramli.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...



Nota terima kasih:
Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

S24O Bukit Ramli - 3 Jun 2012 (Bahagian ketiga: Akhir)

$
0
0
Kesinambungan dari bahagian lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

Ahad, 3hb Jun 2012

Kaki Bukit Ramli.

Setibanya kami berdua dia persimpangan Jalan Awin - jalan besar, kami berehat seketika melepaskan lelah dah bergambar kenangan. Setelah berehat dan membasahkan tekak dengan tidak sampai lima minit, kami meneruskan perjalanan menuju ke sebuah persimpangan untuk menghala ke pekan Meru.

Tidak sampai dua kilometer berkayuh, kami dikejutkan dengan pemandangan sebuah kereta terbakar hangus di tepi kanan jalan. Ianya menarik perhatian kami berdua untuk berhenti dan bergambar. Entah apalah punca kebakaran ini berlaku, lebih malang lagi bagaimanalah keadaan pemandu atau penumpang kenderaan kereta tersebut. Dari pengamatan saya, kereta ini adalah dari jenis Proton Saga.

Saya memfotokan keadaan ini untuk entry blog milik saya yang satu lagi (Aku, Basikal Dan Sesuatu), dan turut menyuruh Mawi memanjat ke atas bumbung bagi mendapatkan aksi yang lebih dramatik. Model tidak berbayar saya memanjat ke atas bumbung dengan berhati-hati, manalah tahu kebakaran itu mungkin melemahkan struktur logam bahagian bumbung tersebut.


Gambar 1. Bahagian depan kereta yang terbakar

Gambar 2. Bahagian sisi tepi dan belakang kereta yang terbakar

Gambar 3. Mawi memanjat bumbung kenderaanuntuk mendapatkan sudut lebihdramatik


Persimpangan sempadan daerah Klang & Kuala Selangor
 
Puas bergambar, kami meninggalkan lokasi kebakaran kereta dan laluan berubah kepada pendakian jarak pendek sebelum dihidangkan pula dengan laluan menuruni bukit yang membawa kami ke sebuah simpang tiga. Sebuah papantanda di tepi jalan memberitahu kami yang ke kiri akan membawa ke pekan Meru manakala ke kanan menuju ke Puncak Alam atau Kuala Selangor.

Rupa-rupanya, persimpangan itu menjadi tanda persempadanan antara daerah Klang dan Kuala Selangor. Kami meluangkan sedikit masa untuk sesi fotografi di situ.


Gambar 4. Basikal kami diletakkan di daerah Klang

Gambar 5. Tidak sampai beberapa saat, Mawi berada di daerah Kuala Selangor.


Majlis kenduri kahwin di Jalan Jambu, Meru
 
Kami meninggalkan kawasan persempadanan dua daerah tersebut, dengan memasuki Jalan Meru Tambahan dan mensasarkan Jalan Jambu untuk menuju majlis kenduri kahwin rakan Facebook saya, Anita. Satu demi satu jalan yang dinamakan dengan nama buah-buahan kami lalui dan tidak lama kemudian sampailah kami ke persimpangan Jalan Jambu.

Kami masuk ke Jalan Jambu dan tiba di satu majlis perkahwinan di sebelah kanan jalan. Saya bertanyakan pada seorang petugas majlis di kenduri itu, setelah memberi nama pengantin berserta nama bapanya lelaki itu memberitahu kami rumah yang dicari itu hanya terletak dua persimpangan utama dari situ. Selepas mengucapkan terima kasih, kami berdua berlalu pergi dan setelah dua persimpangan utama kami lepasi, tibalah keduanya di majlis kenduri kahwin yang sebenarnya ingin kami hadiri.

Hadirin masih ramai biarpuntiba hampir jam 1530 petang. Kehadiran kami menjadi tumpuan beberapa mata yang memandang, dan itu membuat  saya dan mungkin juga Mawi menjadi sedikit segan. Kami meletakkan basikal di bawah sepohon pokok yang rendang di antara beberapa buah kereta tetamu yang diletakkan di situ dan menguncinya.

Berjaya mendapatkan sebuah meja kosong, kedudukan meja kami tidak jauh dari rumah pengantin. Semasa kami makan, satu keluarga turut menumpang meja makan kami bagi menikmati hidangan. Kami berkenalan dan berborak-borak, rupanya lelaki itu merupakan bapa saudara kepada pengantin perempuan, Anita.

Sedang kami makan, tiba-tiba Anita datang menghampiri kami. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran saya dan Mawi, seterusnya meminta maaf kerana tidak dapat melayan kami kerana kesibukan berjumpa dengan saudara mara dan tetamu yang hadir serta sessi bergambar kenangan.

Setelah selesai menikmati hidangan, dan juga membiarkan makanan yang dihadam jatuh ke bahagian bawah perut (Burppp, Alhamdulillah ...) tibalah masanya untuk kami beredar. Waktu ketika itu menghampiri jam 1600 petang, jika diikutkan aktiviti S24O kami telah terbatal kerana memulakan perjalanan petang semalam pada jam 1600 petang, bermakna telah 24 jam dilalui dan masih belum pulang ke rumah. Tetapi, biarlah waktu 24 jam itu sekadar menjadi panduan asas berS240 dan biarlah kami menikmati setiap detik tanpa perlu terburu-buru mengejar masa.

Saya berniat untuk bergambar dengan pasangan pengantin bagi mengabadikan perkenalan dan kedatangan kami ke majlis kenduri kahwin ini, tetapi terpaksa menunggu beberapa minit sebelum dapat peluang untuk berfoto. Saya meminta pertolongan jurugambar rasmi majlis bagi merakamkan gambar kami berempat. Setelah sessi fotografi diadakan, saya dan Mawi saling bersalaman dengan pengantin lelaki dan mengucapkan selamat pengantin baru pada keduanya.


Gambar 6.Aksi spontan dan bersahaja keluarga pengantin ketika acara bergambar beramai-ramai diadakan.

Gambar 7. Gambar kenangan saya dan Mawi menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan pengantin


Mencuba jalan pintas Setia Alam ke Bukit Bandaraya

Dari Jalan Jambu, kami kemudian memasuki Jalan Kopi yang menembusi hingga ke jalan Meru - Kapar (Persiaran Hamzah Alang). Dari situ kami memasuki Jalan Haji Abdul Manan 1 yang kemudiannya keluar ke Jalan Abdul Manan. Selepas stesyen minyak Petronas yang baru didirikan di sebelah kanan jalan, kami memasuki simpang berlampu isyarat di sebelah kanan dan melalui Klang Sentral serta pasaraya besar Giant di sebelah kiri kami.

Saya mengambil keputusan untuk melalui jalan ini bagi mengelakkan keadaan merbahaya persimpangan yang bersimpang siur dari pekan Meru menghala ke Setia Alam dan Klang. Banyak kenderaan besar seperti lori kontena yang melalui jalan tersebut dan keadaan itu adalah merbahaya bagi kami berdua.

Selepas pasaraya besar Giant, kami melalui satu pusingan U dan kemudian memasuki Setia Alam. Saya agak biasa dengan jalan di situ kerana terdapat pasangan rakan rekreasi pendakian gunung tinggal di Setia Alam. Selain faktor keselamatan kerana hendak mengelakkan kenderaan besar dan jalan yang sibuk, faktor saya mengambil laluan ini adalah untuk mencuba satu laluan pintas offroad yang dikatakan dapat menembusi kawasan Bukit Bandaraya dari Setia Alam.

Menurut seorang rakan kayuhan iaitu abang Nazari, terdapat jalan pintas di bawah laluan kabel penghantaran elektrik bervoltan tinggi dengan jalan masuknya tidak jauh dari plaza tol Setia Alam. Faktor inilah yang mendorong saya untuk mencuba sendiri laluan tersebut.


Gambar 8.Setia Eco Park, antara perumahan elit yang terdapat dalam kawasan Setia Alam


Tidak jauh dari plaza tol Setia Alam, ternampaklah akan kami berdua sebuah laluan sebelah kiri jalan betul-betul di bawah kabel penghantaran voltan tinggi. Ianya seolah-olah menjadi laluan alternatif utama penduduk tempatan, melihatkan pada kesan tanahnya. Kami berdua melalui jalan tersebut, dan sempat berhenti seketika untuk bergambar.

Jika mengambil gambar dengan tidak memasukkan struktur besi pemegang kabel voltan talian tinggi tersebut, kehijauan padang rumput tersebut dilihat seolah padang ragut lembu tenusu di New Zealand (chewaaahhh ...)


Gambar 9.Mawi mendahului di hadapan mencuba laluan pintas menuju ke Bukit Bandaraya

Gambar 10.Jika tiada struktur besi dan kabel penghantaran voltan tinggi ini, lanskap yang menarik pasti akan kita perolehi

Gambar 11. Laluan yang jelas, kering dan berumput memudahkan perjalanan kami walaupun dengan beg pannierdi kiri kanan kami.


Dengan jarak 1 kilometer ataupun kurang, kami berdua tiba di penghujung laluan pintas tersebut. Hujungnya mempunyai tanah yang ditimbunkan dan ini sedikit menyukarkan laluan kami.


Gambar 12. Timbunan tanah di bahagian hujung laluan sedikit menyukarkan perjalanan kami.

Gambar 13. Perjalanan melalui jalan pintas hampir selesai !


Tasik di kawasan Bukit Bandaraya

Dari laluan pintas itu, kami mula memasuki kawasan perumahan di Bukit Bandaraya. Tidak jauh di hadapan, terdapat sebuah tasik di sebelah kiri jalan. Saya yang agak biasa dengan kawasan di situ kerana pernah mencuba laluan offroad 'Band of MTB Rider', kemudian mengajak Mawi untuk melalui jalan tersebut.

Sebelum merasai pengalaman di laluan itu, terlebih dahulu kami bergambar di tepi tasik. Semasa bergambar, ternampaklah akan kami seorang surirumah warga etnik Orang Asli sedang mencuci pakaian di tepi tasik, betul-betul di seberang hadapan tempat kami meletakkan basikal.


Gambar 14.Kedua basikal kami dengan berlatarbelakangkan pemandangan tasik serta hutan yang menenangkan.

Gambar 15.Mawi dibawa oleh saya untuk merasai pengalaman laluan offroad sekitar tepi tasik

 
Gambar 16. Seorang pemuda Orang Asli di laluan kami, mungkin sedang mencari sebarang hasil hutan.

Gambar 17.Dengan serba kepayahan, kami melalui jalan offroad tersebut

Di penghujung laluan tepian tasik, saya membawa Mawi ke jalan lain yang berselari dengan jalan besar ke Bukit Bandaraya dan di sebelah kirinya terdapat beberapa rumah penempatan Orang Asli hutan Bukit Cherakah. Jalan tersebut kemudiannya bercantum dengan penghujung laluan offroad'Band of MTB Rider'.

Menuju jalan pulang

Dari laluan offroaditu, kami naik semula ke laluan asal bertar (Persiaran Gunung Nuang) yang membawa kami ke persimpangan tiga menuju Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) - Seksyen 8 untuk pulang ke kediaman Mawi yang terletak di Seksyen 11 Shah Alam.


Gambar 18.Penghujung laluan offroad yang bercantum dengan trek 'Band of MTB Rider'

Gambar 19.Kembali ke ketamadunan, jalan bertar dan bersimen


Kami berdua tiba di kediaman Mawi yang terletak di Seksyen 11 Shah Alam tepat jam 1830 petang. Setelah berehat sebentar dan dihidangkan minuman oleh Mawi, saya kemudiannya menuju pulang ke kediaman yang terletak di seksyen 24.



Gambar 20.Satu lagi rencana laluan yang dirancang berjaya ditempuhi oleh basikal Bridgestone saya tanpa sebarang masalah

Gambar 21.S240 ke Bukit Ramli merupakan laluan paling jauh sejak basikal Surly Long Haul Trucker (Surly LHT) ini dibeli dan dipasang

Selesai aktiviti S240 kami yang pertama !

Walaupun ianya memakan masa keseluruhan 26 jam, lebih 2 jam dari aktiviti S24O yang sepatutnya. Segala payah jerih dan kepenatan berkayuh terbalas dengan kepuasan tidak terhingga. Berpuas hati kerana dapat membawa basikal dengan beg pannier melalui kawasan berbukit - bukau di laluan Lebuhraya Guthrie (GCE), Puncak Perdana - Alam Budiman, laluan 'dragonback' yang selalu diperkatakan, jalan dalam di kampung Bukit Cherakah dan yang paling utama iaitu laluan pendakian menuju puncak Bukit Ramli disamping dapat menikmati pemandangan malam sekitar kawasan Meru, Kapar dan Klang dari tempat tinggi.

Bagi basikal jenama Surly model Long Haul Trucker milik Mawi, itu adalah jarak terjauh yang pernah dilalui sejak ianya mula dibeli lalu dipasang. Saya mendoakan agar Mawi terus maju jaya dalam aktiviti berkembara basikal yang baru diceburinya ini. Amin Ya Robbal Alamin ...


T    A    M    A    T


Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 5

$
0
0
Alhamdulillah, setelah merehatkan sebentar siri Kayuhan NJ dan menerbitkan pula pengkisahan ‘S24O ke Bukit Ramli’. Penulis akhirnya menjaya mendapatkan kembali mood yang diperlukan bagi menulis cerita Kayuhan NJ. Harapan agar ianya akan dapat dihabiskan agar jalan ceritanya tidak tergantung begitu sahaja. Terima kasih kepada semua pembaca kerana masih setia mengikuti ( :

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:

Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.

17hb Nov. 2011, Khamis

Tanjung Malim ke Slim River

Selesai menjamu selera dan membayar harga makanan-minuman, kami bersepakat untuk ke stesyen minyak Petronas yang terletak di sebarang jalan bagi menunaikan kewajipan solat. Memandangkan waktu pun menjelang senja, kami hanya akan berkayuh kembali setelah menunaikan solat fardu Maghrib. Alhamdulillah, kewajipan berjaya dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, kami bertiga (kecuali abang Joe) memakai vest pemantul cahaya sebagai langkah keselamatan untuk menghadapi situasi malam

Perjalanan diteruskan dengan melalui Jalan Persekutuan No. 1 setelah segalanya selesai. Kami melepasi persimpangan menuju Proton City, Bandar Behrang dan persimpangan masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Behrang Stesyen. Bahu jalan yang pada mulanya besar bersama laluan dua lorong, kemudian bertukar menjadi selorong dan bahu jalan yang tidak sampai tiga puluh sentimeter lebar ketika kami melepasi kawasan Behrang Stesyen. Lampu jalan yang pada mulanya banyak menerangi laluan kami, turut berkurangan dan pada beberapa lokasi hanya terdapat di persimpangan jalan sahaja.

Cabaran ketika melalui laluan Behrang Stesyen - Slim River ini ialah pada permukaan bertar bahu jalannya yang tidak lebar, ditambah dengan pemasangan pemantul cahaya (reflector) jenis bulat yang menyempitkan lagi laluan yang telah sedia sempit itu. Pemantul cahaya itu juga licin dan boleh mengakibatkan kemalangan jika terlanggar. Kawasan tepi jalannya yang rendah dari aras jalan cuma bertanah atau berumput. Keadaan itu diburukkan lagi apabila lori treler melalui jalan tersebut, lebih-lebih lagi jika terdapat kenderaan yang dating dari arah bertentangan. Kami terpaksa lebih berhati-hati dengan tidak melanggar sebarang pemantul cahaya kerana jika terjatuh pastinya akan dilanggar oleh lori-lori.

Pasar malam Slim River

Untuk menghadapi situasi ini, kami berempat berkayuh secara berhampiran kerana ini akan membuatkan pengguna jalanraya lain lebih perasan akan kehadiran kami di jalanraya melalui kerlipan cahaya lampu keselamatan belakang (blinker) kami. Setelah dua puluh kilometer dengan masa satu jam sepuluh minit meninggalkan Tanjung Malim, kami akhirnya sampai di Slim River.


Gambar 1. Ketika berhenti rehat di stesyen minyak Esso, Slim River


Setibanya kami di Slim River, saya menghantar sms untuk mengemaskinikan status Facebook, seperti berikut:

Pit stop di Esso Slim River. Info: 115.30 km DST*, 6:27:03 TM* [17.11.2011, 2035 hrs]

Nota:
DST merupakan singkatan kepada jarak (distant) dalam unit kilometer; TM bermaksud masa (time) dalam unit jam: minit: saat, 

Pucuk dicita ulam mendatang, kebetulan terdapat pasar malam di kawasan berhampiran. Selepas meminta rakan lain menjaga basikal, saya dan Muzammil berkunjung ke pasar malam itu. Setelah mundar-mandir dari hadapan hinggalah ke hujung pasar malam tersebut, apa yang saya beli adalah seketul hotdog bagi mengisi perut yang telah berkeroncong. Berbeza apabila berkayuh di waktu siang dan malam. Jika pada waktu siangnya, kita akan lebih banyak minum air dari makan akibat cuaca yang panas. Pada waktu malamnya pula, kurang minum air tetapi perut akan menjadi lebih cepat lapar. Ini adalah kerana tenaga tambahan diperlukan untuk mentenagakan kayuhan disamping memanaskan badan lebih-lebih lagi jika cuaca dingin akibat hujan.

Semasa kami berehat di tepi stesyen minyak tersebut, seorang lelaki menegur kami. Rupa-rupanya, beliau juga adalah peminat aktiviti berbasikal yang berkayuh bersama kumpulan yang dinamakan sebagai Tanjung Malim Bikers. Beliau sempat berpesan kepada kami untuk berhati-hati di laluan antara Slim River ke Bidor dimana di lokasi tersebut terdapat banyak kes samun. Kami mengucapkan terima kasih kepada lelaki tersebut dan berjanji akan lebih berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut.


Gambar 02. Bergambar bersama rakan kayuhan yang baru kami kenali di Slim River


Slim River menuju ke Bidor.

Destinasi kami seterusnya ialah Tapah. Plan asal saya ialah untuk berhenti bermalam di sebuah R & R yang terletak pertengahan antara pekan Tapah dan Temoh. Namun oleh kerana masa nampaknya sudah semakin suntuk, akibat pembaziran masa menunggu hujan reda. Saya terpaksa menukar plan untuk bermalam di Bidor, yang terletak lebih kurang 20 kilometer dari pekan Tapah.

Terlebih dahulu, saya menghantar satu smskepada rakan rumah sewa saya di Shah Alam, memberitahu kepadanya tentang meminta kebenaran untuk bermalam di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Pasir, Bidor. Beliau membalas yang dia sudah menelefon keluarganya dan telah memberikan lampu hijau untuk kami bermalam di rumahnya. Fuhhh, lega rasanya setelah mendapat kebenaran tersebut …

Perjalanan kami teruskan, dari Slim River menuju ke Bidor laluan satu lorong menjadi dua lorong dan beberapa tempat seperti Trolak dan Sungkai kami lepasi. Kaki Muzammil masih lagi terkena kekejangan (cramp) dan ketika di laluan pendakian, kami bergilir-gilir berkayuh sambil membantunya dengan cara menolak di bahagian belakang badan beliau. Antara laluan pendakian yang panjang dan sedikit curam yang saya ingati adalah ketika menghampiri persimpangan masuk ke Felda Gunung Besout.

Waktu menghampiri jam 11 malam dengan tinggal tidak sampai 20 kilometer ke Bidor (seingat saya), kami berhenti rehat di tepi sebuah lokasi yang baru dibangunkan. Oleh kerana gelap malam dan tiada sebarang papantanda untuk kami rujuki, tidaklah kami ketahui lokasi kami berhenti. Dilihat dari bentuk pembangunan tersebut, ia mungkin sebuah sekolah atau hospital yang baru didirikan. Maafkan saya andai tersalah meneka bangunan itu ...


Gambar 3: Berhenti rehat di kawasan yang tidak kami ketahui


Kampung Pasir, Bidor

Kami berempat tiba di kediaman Tok Salim yang terletak di Kg. Pasir, Bidor menghampiri jam 1.00 pagi. Untuk info, insan yang saya panggil sebagai Tok Salim ini atau nama sebenarnya Abd Halim merupakan adik kepada nenek di sebelah ayah saya. Beliau merupakan bekas pesara kerajaan yang memilih Bidor untuk dijadikan lokasi kediamannya.

Disebabkan tiba terlalu lewat, kami tidak tergamak untuk mengejut keluarganya dan bercadang untuk tidur sahaja di bahagian laman berbumbung sisi rumahnya. Untuk ke tandas, saya mengesyorkan pada rakan-rakan lain untuk menggunakan tandas di surau berhampiran. Masing-masing mengeluarkan sleeping mat serta sleeping bag, dan mengemaskan beg untuk tidur. Tidak lupa juga untuk mengunci basikal pada tiang di laman meletak kereta untuk keselamatan agar tidak dicuri.

Saya menelek-nelek bacaan pada odometer basikal, dan kemudian menghantas sms untuk mengemaskini status Facebook saya:

Alhamdulillah, setelah b’panas-hujan-angin-ngantuk-lenguh-kaki krem-basah lenjun dll kami b’empat slmt tiba di Bidor. Info hari p’tama: 152.88 km DST*, 8:47:53 TM*, 43.2 km/h MAX*, 17.7 km/h AVG* [18.11.2011, 0103 hrs]

Nota:
DST merupakan singkatan kepada jarak (distant) dalam unit kilometer; TM, masa (time) dalam unit jam – minit - saat; MAX, kelajuan maksima (maximum) dalam unit km/j dan AVG purata kelajuan (average) dalam unit km/j.

Sedang bersiap-siap untuk tidur, saya ternampak kelibat seseorang menarik langsir dan mengintai dari tingkat rumah. Tiba-tiba, lampu di laman luar rumah dinyalakan dan pintu masuk utama dibuka. Rupa-rupanya, ia adalah Tok Salim dan kemudian ia menjemput kami semua untuk masuk. Setelah saya bersalaman dengannya, ia berkata kenapa saya tidak mengetuk pintu atau memanggilnya. Saya hanya mengatakan yang kami tiba terlalu lewat dan tidak mahu mengganggu tidurnya. Beliau mengatakan yang dia dan isteri telah menyiapkan tempat tidur untuk kami di ruang tamu. Selepas berkata demikian, beliau turut menyuruh rakan-rakan yang lain untuk masuk ke rumah. Nampak gayanya, sleeping bag dan sleeping mat yang dibawa tidak dapatlah digunakan untuk malam ini …


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 

Reviu e-mag Bicycle Traveler edisi Nov. 2012

$
0
0


Majalah Elektronik (selepas ini akan disebut sebagai e-mag, singkatan dari electronic magazine) Bicycle Traveler edisi November 2012 telah pun mula diterbitkan. Ianya boleh dimuat turun melalui laman ini, secara percuma !

Seperti biasa, penulis akan membuat reviu ringkas dan pembaca boleh memuatnaik dan membacanya sendiri untuk menambah pengalaman serta pengetahuan, serta membuka minda saudara - saudari tentang aktiviti berkembara basikal ini.

Ringkasnya, kandungan e-mag ini masih terbahagi kepada beberapa bahagian seperti artikel, fotografi, peralatan, temuramah dan kolumnis.


Bicycle Traveler edisi November 2012

Artikel:

Cycling The Dempster.
Mike Boles berkongsi pengalamannya berkembara basikal melalui Dempster Highway di utara Kanada.

Bicycling The Americas.
Cass Gilbert berkongsi pengalamannya berkembara basikal di benua Amerika, gaya perjalanan dan destinasi akhir yang dituju.

Slow Boat To Borneo.
Amaya William menceritakan pengalaman beliau dan suaminya Eric Schambion menaiki bot selama dua hari setengah dari Pulau Bintan ke Pontianak di Kalimantan Barat, sejurus sebelum memulakan perjalanan mereka meneroka kepulauan Borneo.

Ten Bicycle Touring Commandments.
Charlie Baxter menulis 10 'rukun' yang beliau fikir patut diamalkan oleh penggiat aktiviti kembara berbasikal


Fotografi

A New Paint Job
Yvonne & Valentjin van der Valk mengecat kedua basikal mereka, selepas mendapat ilham apabila melihat lori-lori milik negara Pakistan ketika berkayuh melalui Lebuhraya Karakoram.

Photo Story - French Alps
Kees Swart dan rakan kayuhannya, berkongsi gambar-gambar menarik ketika mereka melakukan kembara berbasikal di kawasan berbukit antara Geneva dan Laut Mediterranean.

Image From The Road - Bolivia
Gambar berkembara basikal di kawasan bergurun Bolivia oleh Neil Pike.

Image From The Road - Tanzania
Gambar pengembara berbasikal memilih tapak perkhemahan di antara dua batang pokok besar oleh Dave Conroy.

Image From The Road - India
Penduduk tempatan berkerumunan melihat basikal milik Paul Jeurissen.

Parting Shot - America
Gambar cebisan pokok kaktus dan durinya yang melekat pada tayar basikal oleh Paul Jeurissen


Peralatan

Trip Gear
Grace Johnson membuat reviu beberapa peralatan terkini di pasaran seperti khemah ringan untuk 2 orang (lightweight 2 person tent), kole berpenebat (insulated mug), beg handle bar, beg tidur (sleeping bag), kerusi mudah alih dan lampu kepala (headlamp).

Test Anjungilak Air Pillow
Henrik Risager menguji dan memberikan reviu mengenai bantal angin model Anjungilak keluaran jenama Mammut.

Test MSR Pocket Rocket Stove
Helen Llyod menguji dan memberikan reviu mengenai dapur gas mudah alih model Pocket Rocket keluaran jenama MSR.


Temuramah

Ian Hibbell
Ben Searle berkongsi pengalamannya menemuramah seorang pengembara basikal warga emas, mendiang Ian Hibbell. Untuk info, Ian Hibbel telah meninggal dunia pada tahun 2008 akibat dilanggar lari di lebuhraya Athens - Salonika ketika berlatih untuk kayuhan rentas dunia, pada umurnya 74 tahun ketika itu.


Kolumnis

An Eco Friendly Bike Trip
Edward Genochio memberikan sedikit penulisan aluan, mengenai perjalanan kembara berbasikalnya dari England ke China, dan berpatah balik.

Selamat menaikturun dan membaca !


Muka hadapan Bicycle Traveler edisi Nov. 2012

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 1

$
0
0

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.


Jumaat, 18hb Nov. 2011

Kampung Pasir, Bidor.

Pagi itu, setelah puas berehat walaupun dengan waktu tidur cuma beberapa jam sahaja masing-masing bangun tidur awal dan mandi pagi. Mungkin lebih bersedia untuk kayuhan di hari kedua ini, yang mana semua akan menempuh laluan ‘jersi raja bukit’ dari Simpang Pulai, Perak ke Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang.

Hari kedua merupakan laluan sukarberbanding hari lain. Plan sepatutnya ialah kami akan berhenti bermalam di R & R Tapah yang terletak antara pekan Tapah dan Temoh. Oleh kerana masalah kekejangan kaki Muzammil dan cuaca hujan semalam, keadaan ini tidak mengizinkan kami menuruti plan asal dan bermakna kami telah di belakang jadual. Jarak dari Bidor ke Tapah lebih kurang 20 kilometer dan dari pekan Tapah ke R & R Tapah lebih kurang 6 kilometer. Tidaklah berapa jauh kami di belakang jadual seperti yang dirangka.

Saya sempat meminjam komputer desktop Nur Syahirah, anak kedua bongsu Tok Salim untuk berada dalam talian bagi mengemaskinikan status dan juga membalas komen rakan-rakan di laman sosial Facebook. Status yang ditulis pada pagi itu, seperti berikut:

Selamat sejahtera ke atas kamu ! Pagi Jumaat yang mulia dan cerah di Bidor, Perak. Pagi ini akan memulakan perjalanan Bidor – Tapah – Simpang Pulai, sebelum laluan merebut jersi ‘raja bukit’ Simpang Pulai – Kampung Raja Cameron Highlands. Kayuhan hari ini ditujukan khas buat encik Nazrol Jamaludin (tagged) sebagai individu yang merencanakan laluan ini, tetapi beliau tidak dapat bersama disebabkan kekangan tugas. Doakan kami selamat & berjaya bro ! [18 Nov 2011, 07:47] ...”

Ya ! Status itu untuk memaklumkan lokasi terkini, laluan seterusnya dan juga didedikasikan kepada rakan kayuhan saya di Shah Alam iaitu Nazrol yang mana beliaulah mencadangkan laluan yang kami ambil ini. Walaubagaimanapun, beliau tidak dapat menyertai kerana pada hari itu akan ke Pulau Pinang demi untuk menjalankan tugasannya menghadiri satu mesyuarat. Untuk info dan ingatan, Kayuhan NJ ini diambil sempena nama beliau, Nazrol Jamaludin

Saya yang terlebih dahulu telah bersiap-sedia menukar pakaian dan mengemaskan barangan, melihat rakan-rakan yang lain pula membuat persiapan. Semasa kami bersiap memasang beg pannier pada basikal masing-masing, isteri pada tuan rumah iaitu saya panggil sebagai Tok Natrah sibuk menyediakan sarapan pada pagi itu.

Selepas semua selesai mempersiapkan barangan pada basikal, Tok Salim memanggil kami untuk bersarapan pagi bersama. Menu pagi itu; nasi lemak, kuih karipap, rendang ayam, telur dadar bersama minuman Milo panas. Alhamdulillah, makanan dan minuman yang sedap dan panas untuk memulakan hari di pagi yang indah.


Gambar 1. Menu makanan dan minuman sarapan kami pagi itu



Semasa makan, Tok Salim dan Tok Natrah sempat berkenalan dengan rakan-rakan kayuhan saya. Beliau sangat kagum dengan abang Joe yang seusia dengan Tok Salim kerana pada umur sebegitu masih mampu berkayuh pada jarak yang jauh dan masa yang panjang.

Selesai makan, ada yang sempat ke tandas untuk bersedia sebelum berada di jalanan. Kami memastikan tiada barang peribadi tertinggal, dengan membuat pemeriksaan berganda (double check). Kami berhasrat untuk membuat sesi foto kenang-kenangan bersama tuan rumah. Dengan meletakkan kamera yang diset menggunakan pemasa automatik (self timer) di atas dinding luar rumah, kami berempat bersama Tok Salim dan Tok Natrah berada bersama di ruang meletak kenderaan rumah untuk sesi fotografi.


Gambar 2a. Gambar kenang-kenangan kami bersama tuan rumah. Dari kamera Muzammil

Gambar 2b. Gambar kenang-kenangan kami bersama tuan rumah. Dari kamera Ah Chong


Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah, kami meninggalkan perkarangan rumah menuju jalan besar. Lokasi rumah Tok Salim tidak jauh dari plaza tol Bidor, dan ini membuatkan jalan besar lengang kerana berada luar dari laluan utama iaitu Jalan Persekutuan No. 1. Saya dan Ah Chong antara individu terakhir meninggalkan rumah, sebelum itu sempat saya memberitahu laluan pada Muzammil dan Abang Joe kerana di pekan Bidor terdapat satu simpang tiga berlampu isyarat, jika ke kiri akan ke laluan kami datang malam tadi dan ke kanan akan menuju ke Tapah dan boleh juga ke Teluk Intan.

Sebaik sahaja mahu memasuki jalan besar, saya terpandang akan satu keadaan yang kiranya agak menarik untuk dirakamkan. Seorang lelaki warga emas, sedang bersandar pada batu tanda bertulis jarak ke Bidor 1 kilometer dan seakan merenung jauh. Batu tanda itu telah kelihatan lusuh dengan tulisan yang pudar. Bersama beliau, sebuah basikal yang diletakkan di tepi jalan lebih kurang 4 meter jarak darinya. Saya ingin meminjam kamera DSLR milik Muzammil bagi mendapatkan ‘depth of field’ yang diinginkan, malangnya Muzammil telah jauh ke hadapan.

Saya kemudiannya meminjam kamera Ah Chong untuk merakamkan situasi ini. Saya berpura-pura mengambil gambar basikal, sebenarnya cuma untuk memasukkan lelaki tersebut ke dalam gambar. Selepas itu, saya cuba memberanikan diri meminta izin lelaki tersebut untuk mengambil gambarnya dengan batu tanda tersebut pada jarak dekat, malangnya beliau enggan membuat demikian. Tanpa diduga, lelaki warga emas tersebut kemudian merintih dengan nada sedih; “kesian Pakcik duduk sorang-sorang, bila cuti anak Pakcik pun bukan hendak balik”, katanya.

Situasi ini mengejutkan Ah Chong dan saya. Ah Chong mengambil langkah, memujuk lelaki tersebut sambil berkata, “mungkin diaorang tu sibuk kot Pakcik. Ada masa nanti, diaorang balik lah tu”. Ah Chong bertanya lagi, mungkin untuk meredakan suasana sedih lelaki itu. “Rumah Pakcik, kat mana ?”. Lelaki itu kemudian menunjukkan pada Ah Chong lokasi rumahnya dengan tangannya.

Setelah Ah Chong berbicara seketika, kami berdua bersalaman dengan lelaki tersebut, memohon untuk menyambung perjalanan yang tergendala sebentar. Di dalam minda saya, bermain pelbagai persoalan dan saya percaya Ah Chong mengalami keadaan yang sama. Terfikir juga di ingatan, bagaimanakah nanti nasib saya ketika berusia sedemikian. Adakah saya berkempatan untuk menjalani usia emas ? Peristiwa tadi benar-benar menyentakkan fikiran saya ...


Gambar 3. Basikal Bridgestone saya, lelaki warga emas, batu tanda Bidor 1 km dan basikal milik lelaki tersebut, dalam versi hitam putih

Gambar 4. Basikal saya, berlatarbelakangkan lelaki tersebut dalam percubaan untuk mengambil gambar lelaki itu pada jarak dekat, dalam versi hitam putih

Gambar 5. Basikal, berlatarbelakangkan lelaki warga emas dalam versi warna asal

Gambar 6. Lelaki warga emas menunjukkan rumahnya pada Ah Chong

Gambar 7. Nostalgia batu tanda Bidor 1 kilometer, meninggalkan kenangan yang tidak dapat saya dan Ah Chong lupakan



Saya dan Ah Chong kemudian melajukan kayuhan, bagi mengejar Muzammil dan abang Joe. Abang Joe telah tidak kelihatan, hanya Muzammil yang menunggu di pekan Bidor. Saya tidak khuatir abang Joe akan sesat kerana beliau mahir dengan jalan sekitar Perak, kerana tidak silap saya isterinya berasal dari kawasan sekitar Teluk Intan.

Kayuhan Muzammil pada hari ini lebih mantap dari hari semalam, yang mana pada hari sebelumnya beliau asyik mengalami kekejangan kaki. Bekerja pada syif malam yang tamat pada jam 7 pagi, kemudiannya menyertai kayuhan kami saya agak menjadi punca beliau kerap mengalami kekejangan sepanjang hari semalam. Ditambah dengan sudah lama tidak berkayuh pada jarak yang jauh dan masa yang panjang.

Dari pekan Bidor menuju ke Tapah, saya dan Muzammil mendahului dan meninggalkan Ah Chong beberapa ratus meter di hadapan. Beberapa kilometer sahaja untuk tiba ke pekan Tapah, Muzammil dan saya berhenti di tepi jalan apabila melihat kelibat Ah Chong tidak kelihatan di belakang kami. Saya kemudiannya mendapat satu sms dari abang Joe mengatakan yang beliau telah sampai dan berhenti di stesyen minyak Petronas pekan Tapah. Apabila Ah Chong sampai, kami mengambil masa beberapa minit untuk berehat lalu menyambung perjalanan bagi mendapatkan abang Joe yang telah sedia menunggu di Tapah.


Gambar 8. Saya dan Muzammil berehat seketika menantikan kehadiran Ah Chong


Tiba di stesyen minyak Petronas Tapah, kami bertiga mencari kelibat abang Joe. Saya kemudian pergi ke tandas untuk membuang air kecil, kemudian memasuki stesyen minyak untuk membeli air mineral. Ah Chong yang berhajat untuk menghisap rokok, meminta diri untuk berada jauh dari kawasan stesyen minyak. Semasa kami berada di stesyen minyak, seorang pemuda datang mendekati kami sambil menghulurkan salam dan memperkenalkan diri. Namanya sudah saya lupa, walau begitu wajahnya masih saya ingati. Beliau pada masa itu memakai baju seragam TNB, dan berkata ia bertugas sebagai seorang pembaca meter di kawasan Tapah.

Beliau mengatakan turut menyertai aktiviti berbasikal dan memiliki sebuah mountain bike. Rakan-rakan kayuhan di Tapah katanya terdiri majoritinya dari petugas di Jabatan Penjara Tapah, PDRM Tapah dan juga Hospital Tapah. Mereka biasanya berkayuh beramai-ramai pada waktu malam dari Tapah menuju ke Penjara Tapah dan berpatah balik dengan iringan sebuah kenderaan. Apabila ditanya, kami menerangkan tentang laluan perjalanan kami dari Kuala Lumpur (KL) ingin ke Cameron Highlands dan akan kembali mengikuti laluan Teluk Intan – Sabak Bernam – Kuala Selangor.

Pemuda itu menasihatkan kami agar tidak berkayuh pada waktu malam di kawasan Tapah ke Changkat Petai kerana di situ adalah gelap dan terdapat banyak estet kelapa sawit, kemungkinan untuk berlakunya sebarang kes jenayah. Kami mengucapkan terima kasih atas nasihat beliau. Sebelum pulang untuk menyambung tugasnya, pemuda tersebut sempat membelikan kami minuman isotonik 100 Plus 500ml sebanyak empat botol untuk setiap kami berempat. Kami berasa terharu dengan pemberian tersebut, dan menyifatkan ianya sebagai semangat setiakawan (brotherhood) di antara penggiat aktiviti berbasikal. Terima kasih diucapkan, moga Tuhan memberkati kehidupanmu !

Kami menyambung perjalanan setelah berehat dan menambah bekalan minuman, lalu mendapatkan Ah Chong di tempat beliau merokok. Tidak dapat kami temui beliau pada mulanya, rupa-rupanya beliau berada di luar sebuah kedai antara deretan kedai di situ. Pekan Tapah kami tinggalkan, dalam perjalanan menuju ke pekan kecil seterusnya iaitu Temoh.

Tidak jauh melepasi Hospital Tapah, kami berjumpa dengan seorang lelaki India yang menggunakan basikal tua. Selepas Muzammil memintas beliau, lelaki tersebut menaikkan kelajuan kayuhannya, mungkin berasa teruja dengan kehadiran kami berempat. Kami turut mengekorinya, dengan berasa seronok kerana kayuhan kami kini berteman warga tempatan. Semasa berkayuh, sempat kami bertanyakan kepadanya. “Ane, mau pergi mana”, tanya kami. “Saya mau balik Batu 4, Batu 4”, jeritnya. Laluan yang landai, kemudiannya bertukar menjadi berbukit. Pada ketika itu, lelaki India tersebut menghadapi sedikit kesukaran kerana basikalnya tidak mempunyai gear. Tetapi apabila menuruni bukit, beliau mempunyai kelebihan kerana basikalnya yang berat menambah momentum kelajuan.


Gambar 9. Lelaki India yang berbasikal, menjadi rakan kayuhan kami buat sementara waktu

Gambar 10. Berinteraksi dengan ‘peneman’ sementara kayuhan kami


Sampai di kawasan kampung Batu 4 Tapah, beliau menyimpang ke kiri jalan seraya melambai-lambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada kami berempat. Semasa menuju pekan Temoh, kami melepasi kawasan R & R Tapah, lokasi yang sepatutnya kami bermalam. Syukur kerana kami tiba lewat, sekaligus dapat bermalam di tempat lebih baik di Bidor. R & R Tapah itu kelihatan bertutup, dan seperti tiada satu kedai pun yang dibuka. Walaupun berada di belakang jadual, namun bermalam di Bidor merupakan satu keputusan wajar yang saya ambil sebagai ketua kumpulan dan ianya tidak perlu disanggah lagi.

Simpang ke Chenderiang yang merupakan lokasi ke Airterjun Lata Kinjang dan pekan Temoh kami lepasi. Pekan Temoh merupakan satu destinasi yang pernah kami berhenti semasa Kayuhan Slowly2 Go Down dari Butterworth ke Kuala Lumpur pada tahun 2010 lalu. Destinasi sasaran seterusnya, pekan Kampar.


Gambar 11. Menghampiri pekan kecil Temoh.


Sepanjang berkayuh menuju Temoh dan Kampar, kami melepasi beberapa tasik di tepi jalan. Tasik-tasik itu dijadikan tempat membela itik. Tidak pasti adakah tasik itu semulajadi ataupun lombong tinggal. Jika ianya lombong tinggal, itu tidak menghairankan kerana negeri Perak ini suatu ketika dahulu terdapatnya aktiviti perlombongan yang pesat. Kebanyakan pekan yang kami lalui, keadaannya semakin malap lebih-lebih lagi pekan kecil seperti Temoh. Ini mungkin akibat pembinaan Lebuhraya Utara Selatan yang menjadikan penggunaan Jalan Persekutuan No. 1 ini semakin kurang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan. Jika kedai-kedai yang masih dibuka pun, hanya untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada penduduk setempat.


Gambar 12. Papantanda ingatan ‘lembut’ bagi pemandu kenderaan

 B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 2

$
0
0
Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:

Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih. 


18hb Nov. 2011, Jumaat

Kampar 

Berkayuh sejauh lebih 30 kilometer dari Bidor, kami berempat tiba di pekan Kampar. Jika di pekan Tanjung Malim terkenal dengan pau Yik Mun nya, Kampar pula terkenal dengan biskut berperisa ayam. Perkara ini saya ketahui ketika menyertai rombongan bekas majikan meneroka Gua Tempurung beberapa tahun dahulu. Sewaktu perjalanan balik ke Shah Alam, bas kami berhenti di Kampar dan rakan-rakan sekerja yang berbangsa Cina memborong banyak biskut tersebut untuk dibawa pulang.

Melepasi deretan kedai di pekan Kampar yang berada dalam pola penempatan berjajar jika mengikut subjek geografi sekolah menengah yang masih saya ingati. Kami memilih untuk berhenti di tepi padang sebuah sekolah yang terdapat gerai menjual air tebu, air kelapa pandan dan jus pegaga melihatkan pada papantanda promosi yang diletakkan di tepi jalan. Menikmati keenakan minuman tersebut pada tengahari yang panas, memang mengasyikkan.

Saya memilih untuk membeli jus pegaga, dengan meminta untuk tidak diletakkan gula. Kata penjual wanita berbangsa Cina itu, jus pegaga baik untuk menyejukkan badan. Tidak saya ketahui kebenaran kata-kata tersebut adakah dapat dibuktikan secara saintifik mahupun cuma kata-kata manis mahu melariskan jualan. Ah Chong turut mahu mencuba dengan meminum sedikit air bungkusan saya, “tidak sedap”. katanya.


Gambar 1. Memasuki pekan Kampar

Gambar 2. Kelapa pandan ! Hmm nyumm nyummm ...


Semasa berhenti rehat, saya mengemaskini info serta lokasi kami, seperti berikut:

Renti pekena air kelapa pandan b’hampiran sekolah ACS Kampar. Info kayuhan: 32.88 km DST, 1:57:21 TM, 30.2 km/h MAX, 16.8 km/h AVG [18.11.2011, 1244 hrs] ...”


Gambar 3. Menikmati bungkusan air masing-masing


Kehadiran kami berempat menarik perhatian pelajar-pelajar yang baru pulang dari sekolah menunggu ibubapa atau kenderaan mereka datang. Pengguna jalanraya yang terlibat dalam kesesakan jalanraya akibat waktu pulang dari sekolah turut mengambil kesempatan melihat-lihat pada basikal dan diri kami dari dalam kenderaan mereka.


Gambar 4. Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan menarik perhatian kami berempat dan orang sekeliling
Gambar 5. Bersiap sedia untuk menyambung kembali kayuhan



Kampar ke Simpang Pulai

Selesai menghabiskan minuman masing-masing, kami meneruskan perjalanan dan kali ini mensasarkan Simpang Pulai sebagai destinasi seterusnya. Tidak sampai 1 kilometer berkayuh, Ah Chong memberitahu yang beliau ingin memerut, istilah kami bagi membuang air besar. Oleh kerana terdapat dua stesyen minyak bersebelahan di seberang jalan, beliau meminta kami menjaga basikalnya sementara dia menyeberangi jalan untuk ke stesyen minyak Mobil yang terletak paling hampir dengan kedudukan kami pada masa itu. Kami memilih untuk berhenti di teduhan sebuah pokok besar di tepi jalan sementara Ah Chong menguruskan hal peribadinya.

Semasa menunggu Ah Chong memerut, kami menonton kesesakan jalanraya yang diakibatkan oleh waktu pulang dari sekolah bagi mengisi waktu senggang. Tiba-tiba kami dikejutkan oleh seorang lelaki Cina, yang kelihatan seperti orang kurang upaya. Basikal yang ditungganinya dilengkapi dua tayar tambahan di bahagian belakang, dengan satu plet bertulis AWAS PEMANDU CACAT. Kami cuba berbicara dengan beliau, tetapi dia hanya menggunakan bahasa isyarat tangan yang tidak kami fahami. Setelah melihat-lihat pada basikal dan diri kami, beliau lantas beredar dan saya lihat memasuki sebuah persimpangan ke kiri jalan tidak jauh dari tempat kami berada.


Gambar 6. Ketenangan kami berehat, dikejutkan oleh kehadiran seorang yang ‘istimewa’

Gambar 7. Muzammil cuba berinteraksi dengan lelaki tersebut

Gambar 8. Umpama lagak seorang artis, “no picture please !”

Gambar 9. Puas memerhatikan kami, beliau lantas beredar



Kedai antik di penghujung pekan Kampar 
 
Sekembalinya Ah Chong dari membuang air besar di stesyen minyak seberang jalan, kami meneruskan lagi perjalanan meninggalkan pekan Kampar. Beberapa kilometer dihadapan, tidak jauh dari sebuah jambatan yang melintasi Sungai Kampar. Perhatian kami tertarik oleh deretan basikal antik yang disusun di hadapan sebuah kedai. Kedai itu terletak antara deretan kedai yang kelihatan baru beroperasi. Kami yang telah sedikit terlajak, mengambil keputusan untuk berpatah balik bagi meninjau kedai tersebut.

Apabila dihampiri, ternyata kedai dua pintu tersebut merupakan pusat menjual barangan antik. Di luarnya, diletakkan beberapa basikal lama, tempayan lama, kereta lembu dan yang paling menarik perhatian sebuah motorsikal berkuasa tinggi antik. Kami berempat memasuki bahagian kedai , menjumpai pemiliknya dan berkenalan. Dia meminta kami agar tidak mengambil gambar di bahagian dalam kedainya dan permintaannya kami hormati.


Gambar 10. Bahagian luar kedai antik yang kami singgahi

Gambar 11. Sebuah basikal antik dipamerkan untuk jualan. Harga ? Jangan tanya saya !

Gambar 12. Motorsikal yang dipamer di luar kedai, paling menarik perhatian kami berempat


Kami saling berkenalan; dimana beliau menanyakan destinasi perjalanan kami manakala kami pula banyak bertanyakan beliau mengenai beberapa barangan antik serta minat beliau dalam mengumpul dan menjual barangan tersebut. Beliau merupakan ahli kepada persatuan motorsikal antik/klasik, dan beliau berbesar hati menunjukkan kepada kami album gambarnya ketika menyertai perhimpunan motorsikal antik/klasik dalam mahupun luar negara. Beliau turut memberikan kad perniagaannya kepada kami.


Gambar 13. Gambar kenangan kami bersama pemilik kedai antik

Gambar 14. Ehhh ! Elok pula lah basikal kami disusun di situ ( :

Gambar 15. Deretan basikal kami bersama basikal antik yang dipamerkan


Puas melihat-lihat barangan yang dipamerkan dan berinteraksi dengan pemilik kedai tersebut, kami memohon diri untuk meneruskan perjalanan. Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, keempat-empat basikal dikayuh memasuki semula Jalan Persekutuan No. 1. Meninggalkan jambatan yang melintasi Sungai Kampar, saya dan rakan-rakan melalui Kampung Nyior tidak jauh dari kedai antik, kampung itu merupakan lokasi kediaman rakan saya bernama Zahirah dan keluarganya. Kali terakhir saya menziarahinya, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun dahulu. Hmm, entah apa lah khabar beliau sekeluarga.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ... 

Bicycle Traveler - Edisi 11

$
0
0
Salam sejahtera. Lama rasanya saya tidak menulis dalam blog ini. Untuk artikel kali ini, saya ingin berkongsikan tentang majalah elektronik (e-magazine) bernama Bicycle Traveler yang kini telah pun masuk edisi yang ke sebelas.

Anda boleh memuat turunnya secara percuma di sini. Bagi mendapatkan majalah ini untuk edisi lalu iaitu edisi pertama hingga sepuluh, dapatkannya di sini. [Kemaskini pada 24/10/2016. Harap maaf, kena Subscribe dulu baru boleh dapatkan edisi lalu]

Secara amnya, untuk edisi kesebelas ini ianya menampilkan:

(A) Articles - sebelas artikel dari pelbagai individu kembara berbasikal

(B) Ready to Roll - dua segmen yang menampilkan dua individu, gambar mereka, perkongsian tentang maklumat seperti nama, sejarah kembara berbasikal yang lalu, cara berkembara, jenama / jenis basikal yang dimiliki, beg yang digunakan, gadget elektronik yang dibawa, peralatan yang disukai, laman web dan pelbagai lagi.

(C) Interview - sessi temubual bersama Alee Denham.

(D) Equipment - dua segmen reviu peralatan.

(E) Unclipped Adventures - satu segmen ilustrasi bergambar

(F) Photo Stories - dua artikel cerita bergambar

(G) Images From The Road - tujuh belas foto, perkongsian dari pelbagai negara yang dilalui.

(H) Parting Shot -  satu foto perkongsian yang kelakar.


OK, malas nak cerita lagi selanjutnya. Kalian bacalah sendiri ya ! Kbaiii ...


Gambar di atas diambil dari laman web http://www.bicycletraveler.bicyclingaroundtheworld.nl/




Viewing all 53 articles
Browse latest View live